Si hodoh jadi si cantik, si hodoh jadi si tampan, si skema boleh jadi si buaya, si buaya boleh jadi si beradab. 0

nmhafiz | 11:47 AM |

Oleh kerana aku berfikir menggunakan otak dan bukannya kaki,

Aku begitu sedar bahawa pola atau corak pemikiran mereka begitu tipikal atau terhad. Terlalu mudah untuk dijangka. Terlalu mudah untuk dijadikan bahan ketawa, tetapi terlalu sukar untuk difahami. Selalunya aku akan tergelak apabila melihat gelagat mereka, lalu selepas berfikir secara teliti, aku berasa sedih. Simpati.


Kasihan mereka itu. Apa yang mereka mahukan hanyalah kebahagiaan. Sesuatu yang mampu membahagiakan diri mereka selepas sekian lama terseksa dalam realiti yang semakin memeritkan. Suatu bentuk 'escapism' yang diwujudkan dalam dunia maya setelah sekian lama tidak selesa atau tertekan dengan keadaan realiti sekeliling. Blog, Facebook, dan sebagainya menjadi tempat pembinaan diri ideal atau diri yang mereka impikan. Merekalah raja, merekalah ratu, mereka putera dan puteri, segalanya difikirkan berkisar tentang mereka. Watak utama yang mereka sering kejarkan. Mereka boleh jadi apa sahaja yang mereka mahukan di dalam dunia maya ini. Yang dipuji akan termakan, yang memuji akan memakan. Yang lemah akan ditindas, yang kuat akan bermaharajalela.

Sehingga terlupa apa makna kemasyarakatan, terlupa makna kemanusiaan sejagat, kerana sibuk mementingkan diri. Terlupa segalanya bukanlah untuk diri mereka sahaja. Sehingga, terlupa diri mereka yang sebenarnya. Terlupa, akibat diracuni pujian-pujian dan kutukan yang dilontarkan. Begitu jauh jarak antara imej kendiri ideal dengan imej kendiri sebenar, sehingga boleh mewujudkan suatu ketegangan, krisis identiti. Si hodoh jadi si cantik, si hodoh jadi si tampan, si skema boleh jadi si buaya, si buaya boleh jadi si beradab.

Apa yang kita perlukan hanyalah kesedaran supaya jangan mementingkan diri sendiri sahaja untuk setiap masa dan keadaan. Kesedaran untuk berwaspada dengan setiap watak yang hadir dalam hidup, kerana topeng-topeng wajah mereka mampu menipu kita, membuatkan kita terpedaya.

Kita jangan lupa diri kita siapa.Inilah diri aku yang sebenar. Aku tak kisah apa orang lain nak cakap. Lantaklah !

Kata-kata itu sebenarnya tidak mempunyai makna untuk menjelaskan perasaan. Manusia boleh membentuk seribu kata-kata, seribu bahasa. Tapi kata-kata bukan bukti unggulnya perasaan.

0 Responses So Far: