K E L U H A N 0

nmhafiz | 3:35 AM |

Ini bukan lagu. Menulis tanpa arah pada malam yang suram ini, aku menagih sumber ilham dari karya Jason Mraz biarpun agak tertekan. Berbekalkan lagu 'Bella luna' yang aku tujukan buat seseorang, jemariku pantas menulis bagaikan arus deras sungai selepas hujan. Aku buntu seketika malam ini bila terasa sedikit tenggelam bila memikirkan hal remeh, warna-warni kehidupan. Ada masa aku terasa betapa jauh untuk aku gapai impian tapi ada masa aku terasa semuanya sudah tersedia di hujung jari. Terasa jauh bila memikirkan cabaran dan persaingan tapi terasa terlalu dekat apabila harapan yang dipahatkan adalah bukan sekadar kata-kata dusta. Kata-kata itu terngiang di cuping telinga, umpama baru kelmarin tangan ini diraih, baru pagi tadi diri ini disayangi, baru tengahari tadi tubuh ini didakap, baru sebentar tadi pipi ini dikucup. Mungkin itu semua sekadar gambaran sahaja tapi tidak bagi aku yang merasainya.

Aku tercampak jauh dari diri aku yang sebelumnya. Tidak mustahil. Jauh di sudut hati aku menilai segala yang terjadi, mungkin ini sudah takdir Ilahi. Perjalanan sebenar adalah ibarat mendaki puncak bukit, pendakian adalah sukar dan menuruni bukit adalah lebih mudah. Dalam kehidupan ini segala yang bermula dengan susah pasti akan berakhir dengan lebih mudah, dan mungkin segala yang bermula tanpa masalah akan terbeban olehnya sedikit demi sedikit. Teori ringkas yang dapat aku simpulkan dari segala yang pernah aku lalui selama bertahun hidup di muka bumi ini. Aku tak mengiyakan kebenarannya tetapi logiknya pernah aku rasai, apa yang bermula dengan mudah tidak mungkin akan semudah itu, dan segala yang bermula dengan kesusahan mungkin itulah takdir dari-Nya. Itu hanya teori, segala yang berlaku masih tetap di atas kuasa Yang Maha Esa, yang menguasai sekelian alam, 7 petala langit dan 7 petala bumi.

Ada masa aku terasa, ada masa aku terkena, ada masa aku bahagia. Setiap ruang dan masa cuba untuk aku isi supaya tiada satu pun ruang yang aku terlepas. Namun umpama mampatan pasir halus, biarpun mampat dan padat, masih sentiasa ada ruang air lalu dicelahannya. Mungkin aku bukan sempurna, tapi aku tidak mengalah untuk memberikan kesempurnaan. Mungkin aku tidak hebat mana, tapi tidak aku mengalah dalam menjadi yang terhebat. Mungkin bukan hanya aku yang ada, tetapi aku tidak berhenti kerana aku mahu menjadi yang satu. Cabaran dan persaingan yang wujud ada masa melemahkan tetapi kebanyakannya mengujakan aku untuk terus berusaha. Tidak aku sekejam itu untuk meminta dilenyapkan saingan, walau dalam hati aku menjerit mahukan kemenangan. Mungkin ada baiknya untukku, mungkin ada baiknya untuk usahaku.

Kegembiraan yang dirasa bukan sekadar rasa kosong. Keceriaan yang dirasa bukan hanya seketika. Kebahagiaan, keindahan, kemesraan sehari-harian bukanlah setakat dibibir sahaja, tetapi meliputi segenap ruang hidup, menjengah setiap luang masa, menyemarakkan impian, menguatkan naluri kasih sayang. Ada masa aku hampir menghentikan segala usaha namun setiap kali itu juga api semangat ditiupkan ke dalam jiwaku untuk terus berjaya. Perjalanan itu masih jauh, walaupun terasa dekat di hadapan mata. Semangat itu masih utuh, biarpun ada masa terasa sakitnya. Namun untuk berundur bukanlah caranya, akan kupastikan semua itu menjadi nyata, dan bukan sekadar omongan kosong sahaja. Dan yang kuharapkan ialah dia sentiasa ada, bersama doa dan harapannya.

Barang Lepas Jangan Kenang ~ 0

nmhafiz | 10:28 AM | ,

Kata Seniman P. Ramlee, 'Barang yang lepas jangan dikenang, kalau dikenang meracun diri'. Setiap kita yang ada di muka bumi ini, lebih-lebih lagi yang dah berumur 20-an macam aku ni, pasti ada kisah silam. Berani aku katakan yang 99% daripada kita ni ada masa lampau, kejadian lampau yang kita sendiri malu nak ingat, malu nak ceritakan pada orang lain. Ada yang kelam, ada yang mendung, ada yang gelap, ada yang hitam pekat melekat umpama objek legap yang menyerap haba. Biarpun ianya hanya setitik kecil tapi hakikatnya ia masih ada. Pengalaman lalu bukanlah seperti fail maya yang kita boleh delete sesuka hati, empty recycle bin supaya tiada lagi mengganggu memori semasa. Pengalaman lalu itu merupakan suatu yang permanent, yang dah terjadi dan tak langsung boleh diulang semula untuk diperbaiki. Ianya akan sentiasa kekal dalam ingatan biarpun kita dah berumur, biarpun dah beranak cucu, biarpun dah bercicit piut, sehinggalah terbang nyawa dari jasad. Itulah realitinya pengalaman lalu.

Masa silam yang kelam itu sebenarnya ibarat sampah buangan yang dibawa arus air lalu. Andaikan diri kita seperti menadah tangan ke air lalu, biarpun arusnya deras namun akan ada juga yang tersisa di tangan. Begitu juga dengan kisah lalu, biarpun hanya sekadar sampah tapi sekiranya dipasak sentiasa di dalam kepala, disesakkan ke dalam minda, lama kelamaan akan terasa gangguannya. Kita sendiri akan berasa terganggu sekiranya dalam mengejar masa depan tetapi masa lalu itu seringkali dijadikan bahan bualan orang. Tak terkejut aku sekiranya ada yang berputus asa akibat sering disesakkan dengan cerita lalu. Mungkin ada yang anggap itu hanya teori sendiri namun sekira difikirkan logiknya perkara itu adalah tidak mustahil. Harus kita ambil peringatan bahawa kebanyakan penagih yang keluar dari pusat pemulihan akan kembali kepada tabiat lama akibat daripada sogokan kisah lalu dari orang sekeliling, itulah realitinya. Bukanlah aku melabelkan diri sebagai penagih, itu hanyalah contoh yang telah direkod.

Cerita masa lalu seharusnya dijadikan pengajaran. Berbeza dengan pengajaran yang elok, dalam kes ini ianya perlu diabaikan dan dilepaskan. Kebahagiaan hidup itu antara faktornya ialah bebas dari belenggu masa lalu. Memang tidak dinafikan bahawa sedikit sebanyak kisah lalu itu pasti akan mengganggu segala usaha seseorang bagi mencapai masa depan yang lebih baik. Ia bukanlah bermaksud perkara itu harus diabaikan sepenuhnya, peringatan dalam hal itu haruslah dijadikan sempadan dalam kehidupan. Masa depan takkan wujud andai tiadanya masa lalu, dan pengalaman masa lalu itulah yang membentuk kejayaan masa depan. Jadi adalah jelas yang ada perlunya hal masa lalu cuma tak perlu diulang bicara supaya tidak mengurangkan momentum dalam mengejar kejayaan.

Jangan lihat masa lampau dengan penyesalan dan jangan pula lihat masa depan dengan ketakutan, tetapi lihatlah sekitar anda dengan penuh kesedaran.
"The Past Does Not Equal The Future"

Aku akan ingat . 1

nmhafiz | 7:20 AM |

Baru aku faham sekali lagi bagaimana rasa sunyi itu boleh bersarang dalam jiwa, pedih dengan duri harapan. Aku silap. Sekali lagi tersilap. Jangan mudah berharap bahawa situasi akan menjadi lebih baik.

Kamu takkan tahu apa yang aku rasa - datang pada aku bila kamu sunyi, pergi dari aku bila kamu dapat apa yang kamu mahukan selama ini, lalu segalanya akan berulang kembali bagaikan aku ini makhluk tiada hati, apa makna sebuah kata-kata jika datang daripada pihak yang senang berubah hati ?

Tapi terima kasih, kerana telah mengajar aku apa erti hipokrasi. Aku selepas ini akan lebih banyak belajar lagi. Belajar lebih banyak lagi, agar tidak mahu mengulang kesilapan lalu, kesilapan kamu, kesilapan masyarakat kita ini. 

Benarkan aku berehat. Benarkan aku tinggalkan ini semua seketika. Aku akan pulang bila aku kuat. Aku akan pulang bila aku tabah. Aku akan pulang bila kita semua saling merindukan.























Aku pegang janji aku, dan aku akan ingat sampai mati.

Makan Hati ? 1

nmhafiz | 8:25 AM | , ,

Aku suka makan hati. Aku selalu makan hati. Aku suka makan hati ayam buat goreng, aku suka makan hati lembu dalam rendang tu, dan aku jugak selalu makan hati sendiri. Doktor nasihatkan aku jangan makan hati sangat sebab nanti akan memudaratkan kesihatan, tapi itu hati ayam dan yang sewaktu dengannya, bukan hati sendiri. Tula, ada masa aku rasa agak tertekan la jugak tapi aku tahan je lah, makan hati. Aku tak boleh nak paksa semua orang untuk ikut kehendak aku, malahan untuk ikut kehendak diorang sendiri pun aku tak boleh paksa. Itukan hak individu sendiri, aku ni cuma boleh cakap, bagi nasihat dan pendapat, that's all I can do, and that's clearly my limit. Aku tak retilah nak suruh orang buat itu ini, nanti orang cakap aku nak control. Tapi bila aku tak bertegas nanti orang cakap aku ni terlalu mengikut kehendak. So, what the hell should I do? Makan hati lah!

Dulu aku pernah kenal seseorang, katenye tolonglah tegur-tegur dia kalau ada yang tak kena. Ok, fine. Aku pun tegur-tegur la jugak. Tapi apa aku dapat? Dikatanya aku nak control hidup dia. Oh, come on! Dulu aku pernah kenal seseorang jugak, katanye nasihatkan dia kalau ada salah silap. Ok, aku pun buatlah seperti yang diminta tapi disebabkan pengalaman lalu, aku kurangkan sikit nasihat dan teguran. Apa aku dapat? Dikatanya aku ni terlalu mengikut kehendak, macam lemah sangat. Boleh nampak tak dilema yang aku hadap? Makan hati,lah senang cerita. Jadi sekarang ni pendekatan yang aku gunakan agak berbeza. Nasihat, pandangan dan teguran tu aku buat dengan menggunakan ayat yang lebih santai. Penggunaan ayat tu sebenarnya mempengaruhi penerimaan orang. Aku tak tegur direct, aku tak nasihat direct, aku tak bagi pandangan direct. Biasanya aku akan bagi semua tu dengan memberikan gambaran yang dia boleh lihat sendiri baik buruknya.

Sebenarnya dulu aku pernah cakap yang aku dapat rasakan bahawasanya satu hari nanti aku akan mati sakit jantung sebab banyak sangat tahan rasa dalam hati. Kata orang aku ni terlalu berlembut, terlalu sabar, terlalu beri peluang. Bagi aku itu bukan hal susah pun, what you give you get back. Aku pun dah biasa makan hati dengan segala benda. Hal kerja, hal kawan-kawan, hal keluarga, hal hidup, dan macam-macam lagi. Daripada rasa sakit sampai menggigil tangan sampai sekarang ni dah terbiasa dengan keadaan tu semua. Nak buat macam mana, orang lain pun ada hati dan perasaan jugak sama macam aku, masing-masing pun nanti akan ada terasa juga lambat laun, jadi biarkan sahajalah. Nak berbalas pun tak guna, nak memberontak pun tak ada faedah. Lagipun, sabar tu kan sebahagian daripada cabang iman, apa salahnya kalau bersabar seketika dalam beberapa hal, dan Allah akan bagi kebahagiaan dalam beberapa hal yang lain pula, insyaAllah. So, ape nak berkira sangat pun, kan?

Soal makan hati, terasa hati, touching lebih dan sebagainya ni sebenarnya hal remeh je. If you can hold your patience on something, then it shouldn't be a problem for you to be patience on some other things too. Am I right? Apa nak dikisahkan sangat dengan hati. Yela, walaupun aku, mungkin sebahagian dari kamu semua pernah dengar kisah abang Ismail Lepat yang mengalami patah hati yang maha dahsyat sampaikan sebahagian daripada organ badan dia rosak dan terpaksa dibuang, itu tak bermakna setakat nak bersabar sikit tu tak boleh. Sekali-sekala makan hati pun sedap jugak walaupun bikin panas kat dalam. Semua manusia tu, walau seganas mana pun muka dia, walau seburuk jin sekalipun perangai dia, jauh dalam hati dia pun ada taman jugak. Sekali-sekala kena la layankan rasa hati tu sikit, bagi pedih sikit hati tu. Kalau macam aku ni dah terbiasa, so takdehal sangat pun. Kadangkala aku terfikir yang aku kena ni sebab dulu aku pernah buat kat orang, so terimalah padahnya, dah mendapat dah. Takpalah, aku ni letih dah nak berdendam, takda faedah pun, jadi aku tak nak tunggu balasan yang orang tu dapat tapi aku menanti ganjaran yang aku bakal dapat. Kalau dalam Islam, Allah dah janjikan setiap satu perbuatan baik yang kita lakukan tu akan dibalas dengan sepuluh kebaikan yang lain. Jadi, buat apa nak simpan dendam dan berdengki, kan?

Aku ni jenis manusia yang kawan-kawan aku labelkan sebagai kental. Orang buat itu ini, orang carik pasal sana sini, orang bikin hal situ sini, tapi aku ni dengan rela hati pun memakan hati je lah. Betul aku memang banyak makan hati. Ada masanya aku rasa aku ni terlalu maskulin (aku tak faham maksud perkataan ni tapi macam gay sikit bunyi) sebab sikit punya hal pun aku nak terasa. Tu belum kira aku punya negative thinking syndrome, belum campur jealousy factor. Ya, ada masa aku cemburu, ada masa aku sakit hati, tapi buat masa ni aku rasa tangan ni terikat kemas dan mulut aku ni terkunci untuk menyatakan hal-hal macam tu, taknak nanti berlarutan jadi benda yang lebih teruk. Tak apa, biar aku makan hati asalkan aku tak sakitkan hati orang. Kalau rosak organ dalaman aku ni pun sekurang-kurangnya aku tahu aku tak sakitkan hati orang. Nabi kata tak cukup beriman seorang tu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri. Konsepnya mudah dan senang. Aku tahu sakit hati tu pedih, jadi disebabkan kasih sayang ni aku rela makan hati supaya orang yang aku sayang tu tak sakit hati. Yela, kalau tak nanti takut hal makin kronik jadi, bila dah ada pengalaman boleh la nak cerita. Jadi kesimpulannya, kalau setakat makan hati sikit tu janganlah berkira sangat. Aku ni dah bermacam jenis hati aku dah makan, sampai ada masa yang aku akan rasa sakit perut setiap kali aku pendamkan rasa hati, tapi aku tetap redah jugak. InsyaAllah, Allah akan balas dengan 10 kali ganda kebaikan lagi. Jadi, sekali sekala bercucuk tanamlah dalam hati tu. Tak rugi pun kita jaga air muka kawan, tak rugi pun kita makan hati, paling tidak pun mungkin sakit dan mati je. Hahaha. Just kidding, ok!