Barang Lepas Jangan Kenang ~ 0

nmhafiz | 10:28 AM | ,

Kata Seniman P. Ramlee, 'Barang yang lepas jangan dikenang, kalau dikenang meracun diri'. Setiap kita yang ada di muka bumi ini, lebih-lebih lagi yang dah berumur 20-an macam aku ni, pasti ada kisah silam. Berani aku katakan yang 99% daripada kita ni ada masa lampau, kejadian lampau yang kita sendiri malu nak ingat, malu nak ceritakan pada orang lain. Ada yang kelam, ada yang mendung, ada yang gelap, ada yang hitam pekat melekat umpama objek legap yang menyerap haba. Biarpun ianya hanya setitik kecil tapi hakikatnya ia masih ada. Pengalaman lalu bukanlah seperti fail maya yang kita boleh delete sesuka hati, empty recycle bin supaya tiada lagi mengganggu memori semasa. Pengalaman lalu itu merupakan suatu yang permanent, yang dah terjadi dan tak langsung boleh diulang semula untuk diperbaiki. Ianya akan sentiasa kekal dalam ingatan biarpun kita dah berumur, biarpun dah beranak cucu, biarpun dah bercicit piut, sehinggalah terbang nyawa dari jasad. Itulah realitinya pengalaman lalu.

Masa silam yang kelam itu sebenarnya ibarat sampah buangan yang dibawa arus air lalu. Andaikan diri kita seperti menadah tangan ke air lalu, biarpun arusnya deras namun akan ada juga yang tersisa di tangan. Begitu juga dengan kisah lalu, biarpun hanya sekadar sampah tapi sekiranya dipasak sentiasa di dalam kepala, disesakkan ke dalam minda, lama kelamaan akan terasa gangguannya. Kita sendiri akan berasa terganggu sekiranya dalam mengejar masa depan tetapi masa lalu itu seringkali dijadikan bahan bualan orang. Tak terkejut aku sekiranya ada yang berputus asa akibat sering disesakkan dengan cerita lalu. Mungkin ada yang anggap itu hanya teori sendiri namun sekira difikirkan logiknya perkara itu adalah tidak mustahil. Harus kita ambil peringatan bahawa kebanyakan penagih yang keluar dari pusat pemulihan akan kembali kepada tabiat lama akibat daripada sogokan kisah lalu dari orang sekeliling, itulah realitinya. Bukanlah aku melabelkan diri sebagai penagih, itu hanyalah contoh yang telah direkod.

Cerita masa lalu seharusnya dijadikan pengajaran. Berbeza dengan pengajaran yang elok, dalam kes ini ianya perlu diabaikan dan dilepaskan. Kebahagiaan hidup itu antara faktornya ialah bebas dari belenggu masa lalu. Memang tidak dinafikan bahawa sedikit sebanyak kisah lalu itu pasti akan mengganggu segala usaha seseorang bagi mencapai masa depan yang lebih baik. Ia bukanlah bermaksud perkara itu harus diabaikan sepenuhnya, peringatan dalam hal itu haruslah dijadikan sempadan dalam kehidupan. Masa depan takkan wujud andai tiadanya masa lalu, dan pengalaman masa lalu itulah yang membentuk kejayaan masa depan. Jadi adalah jelas yang ada perlunya hal masa lalu cuma tak perlu diulang bicara supaya tidak mengurangkan momentum dalam mengejar kejayaan.

Jangan lihat masa lampau dengan penyesalan dan jangan pula lihat masa depan dengan ketakutan, tetapi lihatlah sekitar anda dengan penuh kesedaran.
"The Past Does Not Equal The Future"

0 Responses So Far: