K E L U H A N 0

nmhafiz | 3:35 AM |

Ini bukan lagu. Menulis tanpa arah pada malam yang suram ini, aku menagih sumber ilham dari karya Jason Mraz biarpun agak tertekan. Berbekalkan lagu 'Bella luna' yang aku tujukan buat seseorang, jemariku pantas menulis bagaikan arus deras sungai selepas hujan. Aku buntu seketika malam ini bila terasa sedikit tenggelam bila memikirkan hal remeh, warna-warni kehidupan. Ada masa aku terasa betapa jauh untuk aku gapai impian tapi ada masa aku terasa semuanya sudah tersedia di hujung jari. Terasa jauh bila memikirkan cabaran dan persaingan tapi terasa terlalu dekat apabila harapan yang dipahatkan adalah bukan sekadar kata-kata dusta. Kata-kata itu terngiang di cuping telinga, umpama baru kelmarin tangan ini diraih, baru pagi tadi diri ini disayangi, baru tengahari tadi tubuh ini didakap, baru sebentar tadi pipi ini dikucup. Mungkin itu semua sekadar gambaran sahaja tapi tidak bagi aku yang merasainya.

Aku tercampak jauh dari diri aku yang sebelumnya. Tidak mustahil. Jauh di sudut hati aku menilai segala yang terjadi, mungkin ini sudah takdir Ilahi. Perjalanan sebenar adalah ibarat mendaki puncak bukit, pendakian adalah sukar dan menuruni bukit adalah lebih mudah. Dalam kehidupan ini segala yang bermula dengan susah pasti akan berakhir dengan lebih mudah, dan mungkin segala yang bermula tanpa masalah akan terbeban olehnya sedikit demi sedikit. Teori ringkas yang dapat aku simpulkan dari segala yang pernah aku lalui selama bertahun hidup di muka bumi ini. Aku tak mengiyakan kebenarannya tetapi logiknya pernah aku rasai, apa yang bermula dengan mudah tidak mungkin akan semudah itu, dan segala yang bermula dengan kesusahan mungkin itulah takdir dari-Nya. Itu hanya teori, segala yang berlaku masih tetap di atas kuasa Yang Maha Esa, yang menguasai sekelian alam, 7 petala langit dan 7 petala bumi.

Ada masa aku terasa, ada masa aku terkena, ada masa aku bahagia. Setiap ruang dan masa cuba untuk aku isi supaya tiada satu pun ruang yang aku terlepas. Namun umpama mampatan pasir halus, biarpun mampat dan padat, masih sentiasa ada ruang air lalu dicelahannya. Mungkin aku bukan sempurna, tapi aku tidak mengalah untuk memberikan kesempurnaan. Mungkin aku tidak hebat mana, tapi tidak aku mengalah dalam menjadi yang terhebat. Mungkin bukan hanya aku yang ada, tetapi aku tidak berhenti kerana aku mahu menjadi yang satu. Cabaran dan persaingan yang wujud ada masa melemahkan tetapi kebanyakannya mengujakan aku untuk terus berusaha. Tidak aku sekejam itu untuk meminta dilenyapkan saingan, walau dalam hati aku menjerit mahukan kemenangan. Mungkin ada baiknya untukku, mungkin ada baiknya untuk usahaku.

Kegembiraan yang dirasa bukan sekadar rasa kosong. Keceriaan yang dirasa bukan hanya seketika. Kebahagiaan, keindahan, kemesraan sehari-harian bukanlah setakat dibibir sahaja, tetapi meliputi segenap ruang hidup, menjengah setiap luang masa, menyemarakkan impian, menguatkan naluri kasih sayang. Ada masa aku hampir menghentikan segala usaha namun setiap kali itu juga api semangat ditiupkan ke dalam jiwaku untuk terus berjaya. Perjalanan itu masih jauh, walaupun terasa dekat di hadapan mata. Semangat itu masih utuh, biarpun ada masa terasa sakitnya. Namun untuk berundur bukanlah caranya, akan kupastikan semua itu menjadi nyata, dan bukan sekadar omongan kosong sahaja. Dan yang kuharapkan ialah dia sentiasa ada, bersama doa dan harapannya.

0 Responses So Far: