M I M P I 3

nmhafiz | 7:10 AM |

Mimpi itu ada 1001 cerita yang tak dapat kita ketahui kebenarannya. Ada yang kata mimpi itu mempengaruhi apa yang kita selalu fikirkan, mimpi itu boleh mengandaikan masa depan, dan pelbagai lagi. Dah berjuta mimpi yang datang dalam setiap malam aku. Dari mimpi gembira, mimpi bertunang, mimpi kejar hantu, mimpi dikejar hantu, sampaikan mimpi diusung dalam keranda dan dibawa ke perkuburan. Apa makna semuanya? Satu pun tak dapat aku tangkap. Andai mimpi itu ada kebenarannya, bagaimana pula dengan mimpi aku bersama Lisa Surihani? Adakah satu kebenaran juga? Bagi aku semuanya hanyalah mainan tidur, tidak lebih dari itu.

Jika bercakap tentang mimpi, ramai yang kata mimpi itu boleh diramal. Sehebat manakah seseorang dalam meramal mimpi? Bukankah meramal mimpi itu ada unsur khurafat sepertimana menilik masa depan tidak kira dari bilangan tarikh lahir, jumlah dan kedudukan tahi lalat ditubuh, atau apa sahaja yang berkaitan dengan renungan dan ramalan perkara yang belum terjadi. Andai segalanya boleh ditafsir dengan mimpi, aku pasti bahawa nasib setiap manusia itu akan dikhabarkan bertukar-tukar setiap kali bangkit dari tidurnya. Hakikatnya mimpi itu hanyalah sekadar mainan minda tatkala otak sedang direhatkan. Tidak ada yang terlalu istimewanya kerana ianya sekadar lakonan layar disaat tidur.

Ada yang takut dengan mimpi, ada yang terlalu obses dengan mimpi. Kita hendaklah sentiasa sedar bahawa apa sahaja boleh berlaku dalam mimpi, apa sahaja boleh dimainkan dalam mimpi. Ada benarnya kemungkinan wujud gangguan luar dalam mimpi tapi semestinya ia mempengaruhi setiap atau mana-mana aspek dalam kehidupan kita. Ada sesetengah dari kita mengharapkan untuk bermimpi indah setiap kali sebelum tidur namun tidak ada yang boleh kita kawal dalam mimpi. Kita tidak mungkin tahu ada berapa episod mimpi yang kita lalui setiap malam. Kita tidak ada kuasa untuk meletakkan sesiapa pun sebagai watak di dalam mimpi itu. Apa yang kita idamkan belum tentu akan masuk dalam mimpi.

Kesimpulannya, mimpi itu hanyalah sekadar mainan tidur, nikmat yang Allah kurniakan dalam tidur. Jangan disalah ertikan kurniaan tu dengan membuat ramalan yang tak menentu. Sentiasa anggap ianya hanya sekadar wayang gambar dalam tidur. Tidak perlu diberatkan dengan rasa takut, rasa risau, dan pelbagai lagi. Ada yang boleh diambil pengajaran dan ada yang haeus dibiarkan begitu sahaja kerana kita takkan tahu apakah maksud sebenar mimpi itu, samada ada maksudnya ataupun tidak pun tidak dapat kita pastikan. Jadi yang terbaik ialah menganggap ianya hanya sekadar mainan di dalam tidur, tidak lebih dari itu.

Trend Bersumpah 1

nmhafiz | 12:06 PM | ,

Dulu masa budak-budak aku selalu dengar dan tengok kawan-kawan aku, adik beradik aku, sedara mara aku, dan mungkin aku juga sendiri, melafazkan sumpah 'Alif, Lam, Lam, Haa..siapa ambik dia dosa'. Bila difikirkan semula aku rasa macam kelakar sebab memanglah mencuri tu berdosa, tak perlu nak bersumpah bagai. Tapi mungkin sebab dah terikut trend semasa, semua pun nak buat macam tu. Aku ingatkan perkara tu sekadar tersangkut di zaman kanak-kanak sahaja, tapi tak sangka pulak orang dah dewasa pun suka main sumpah-sumpah ni, sampaikan siap ada liputan berita lagi. Aku nak kata lawak pun ada tapi biasalah orang Melayu ni kalau kita komen bab yang ada kena mengena dengan agama pasti menjadi isu sensitif, lagi pulak la kalau aku gelakkan benda tu.

Masa aku sekolah menengah di sebuah sekolah asrama, ada satu kejadian curi yang agak menggemparkan. Aku ingat lagi sebab duit tu dicuri daripada kawan aku. Dalam kejadian tu kalau tak silap aku duit tu lesap masa malam ke, masa sekolah ke, masa solat maghrib ke macam tu la tapi memang dalam jumlah yang besar. Kejadian tu sangat menggemparkan sampaikan pengumuman suruh pulangkan duit tu dibuat banyak kali, suspek yang disyaki semua disoal siasat, dan kemuncaknya ialah semua pelajar lelaki kena buat sumpah dalam surau, lepas tu minum air bacaan yasin sekali. Ok, at last tukang rembat dikenal pasti dan duit dapat balik sebab tak sempat pakai. Itu satu lagi kejadian sumpah dalam history hidup aku, dan aku rasa lebih ekstrem sebab siap minum air yasin lagi, tak perlu pakai jaket kalis peluru pun. Nak dikaitkan cerita, yang mencuri tu pun bersumpah dan minum air yasin (kalau tak silap ada yang kata dia buang balik dalam toilet, diluahkan aje). Dan not surprisingly takda yang teruk berlaku kepada mamat tu walaupun dia bersumpah. So, mana rasionalnya sumpah tu?

Bagi aku sendiri, personally, mengikut logical thinking aku, Allah itu Maha Berkuasa, Dia berhak nak turunkan bala kat sesiapa pun, tak perlu sumpah laknat semua. Dan walaupun dengan sumpah laknat tu, belum tentu Allah akan turunkan balasan time tu jugak. Kalau difikirkan secara logik, sehebat mana kita sebagai hamba-Nya yang hina ini, boleh mendabik dada dengan sumpah laknat dengan menggunakan nama Dia Yang Maha Esa? Memang kita dah sedia maklum bahawasanya setiap dari kita ada hubungan terus dari hati ke hati, dari segi spiritual, secara terus kepada-Nya. Tapi persoalannya ialah adakah dengan hubungan itu membuatkan kita yakin terus dan membuat sumpahan atas nama-Nya.

Segala balasan, segala ganjaran adalah di atas kehendak-Nya, bagaimana seandainya yang bersumpah itu biarpun dia berkata benar tetapi mahu diuji oleh Allah dengan dugaan dan cabaran? Pasti orang luar sana akan berkata bahawa dia bersalah. Dan seandainya dia berdusta tapi tetap melakukan sumpah, dan Allah mengujinya dengan tidak memberi apa-apa dugaan seolah-olah dia tidak melakukan salah? Semua mulut di luar sana akan berkata macam-macam, dan hal itu akan menjadi satu isu besar dalam hal menegakkan kebenaran. Kita harus sedar dan tahu bahawa setiap yang berlaku itu adalah di atas kehendak-Nya, dan Dia akan menurunkan apa sahaja dugaan mahupun ganjaran atas kehendak-Nya, untuk menguji keimanan hamba-Nya, bukan atas sumpah laknat dan sebagainya.

Dulu pernah ada seseorang memberitahu aku, seandainya kita mendoakan keburukan orang, dan sesuatu yang buruk berlaku kepadanya, sekiranya kita mengeluarkan ayat 'Itu balasan doaku', maka adalah menjadi syirik kecil. Memang Allah itu Maha Mendengar dan Maha Berkuasa, tapi setiap yang berlaku itu bukanlah atas doa kita tetapi adalah atas kehendak dan kekuasaan-Nya. Biar sehebat manapun kita, biar sekuat mana pun kita beribadah, segala yang berlaku itu tetap atas kekuasaan-Nya. Memang keyakinan terhadap kuasa Allah itu ada tetapi hakikatnya yang berlaku itu tak harus kita kata sebagai atas ayat kita.

Apa yang berlaku sekarang ni, sumpah itu dibuat umpama mainan oleh segilintir orang, dijadikan isu dalam menentukan siapa benar siapa salah. Kewujudan sistem perundangan yang sedia ada ini ibarat angin lalu yang tak dihiraukan kewujudannya walaupun hakikatnya ia penting. Bagaimana sekiranya semua pihak, baik yang dituduh dan yang menuduh, semua buat sumpah dan semua diturunkan bala, apa pandangan yang akan diberikan orang? Dan seandainya kedua-dua pihak itu tidak berlaku apa-apa yang memudaratkan dalam kehidupan, bagaimana pula komen masyarakat luar? Pasti ada yang berkata sumpah itu tidak sah, sumpah itu tidak betul, sumpah itu dusta, sumpah itu tidak ada kuasa. Dalam hal sekecil ini, tidak mustahil akan timbul satu hal yang lebih besar dan mungkin melibatkan soal akidah. Bagaimana seandainya ada orang luar yang yakin bahawa yang dituduh itu memang bersalah tetapi tidak diturunkan bala dan sebagainya, adalah tidak mustahil akan wujud keraguan dalam akidah mereka terhadap kekuasaan Allah kerana tiada bala yang diturunkan. Jangan kata itu tak boleh terjadi, kemungkinannya ada dalam setiap perkara.

Jadi penyelesaian yang sepatutnya ialah mereka harus diadili secara telus, mengikut apa sahaja sistem perundangan yang ada, tidak perlu sumpahan untuk bukti kebenaran. Gunakan dahulu kemudahan yang ada, jangan dengan mudah mengambil jalan pintas kerana ada masanya jalan pintas itu menuju ke arah yang lebih buruk. Dah aku terangkan di atas tadi bahawa ada kemungkinan untuk berlaku kerosakan akidah, jadi ada baiknya perkara itu dielakkan. Persoalan akidah bukanlah suatu yang boleh diambil mudah jadi selagi boleh dielakkan maka haruslah dielakkan. Kesimpulannya, perkara sumpah laknat itu tiada langsung dalam syarak seperti yang diberitahu oleh seorang ustaz itu, dan apa yang berlaku selepas itu adalah di atas kehendak-Nya, dan mungkin tiada kena mengena dengan apa yang disumpahkan itu.