Merdekakah kita ? 0

nmhafiz | 7:59 PM |

This post maybe pointless to some, and might be fruitful to another. Bercakap mengenai tipikal, ia boleh ditakrifkan sebagai satu kebiasaan ataupun lumrah, mempunyai sifat-sifat lazim, sepertimana dijelaskan dalam Kamus Dewan Edisi Ke-4. Contoh mudah tipikal ialah bila mana kita sebut kaum india, automatik otak kita akan proses imej berkulit hitam, bahasanya berlidah tebal, bila sebut melayu, kita terus bayangkan beragama Islam. Dalam era globalisasi ini, tidak dapat tidak, minda kita akan senantiasa tersangkut dengan pemikiran tipikal ini. Hal ini berkait rapat dengan persekitaran iaitu pengaruh sekeliling, apa yang kita lihat dari zahir, bahkan apa yang kita tonton di televisyen dan layar perak sekalipun mampu mempengaruhi pemikiran tipikal ini. Semuanya berkait rapat, namun tetap jatuh kepada kebebasan fikiran kita untuk memutuskan sesuatu tipikaliti itu.

31 Ogos setiap tahun di Malaysia disambut sebagai Hari Pengisytiharan kemerdekaan. Kemerdekaan itu terlalu luas takrifannya. Setiap satu makhluk, insan, malah objek ciptaan manusia sekalipun ada takrifan kemerdekaan sendiri. Ini terlalu umum untuk ditakrifkan secara total, terlalu luas untuk diberikan makna sekadar sepotong ayat.

Menyorot soal tipikaliti dan kemerdekaan, apakah pemikiran tipikal kita bila disebutkan kemerdekaan? Perbincangan untuk posting kali ini ialah, bila kita sebut orang UMNO-Barisan Nasional, dengan mudah pemikiran tipikal kita akan tergambarkan songkok dan baju melayu, baju batik, berkot dan tali leher, ada juga terbayang BR1M dan keamanan negara, dan bila disebut Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang terbayang ialah  ustaz-ustaz, tok lebai, berserban berkopiah putih, bercakap soal agama dan pastinya mereka jujur kerana agama menegah penipuan. Persoalannya, adakah pemakaian dan ucapan membuktikan mereka jujur? Mungkin jauh lagi untuk dijawab jika dinilai melalui pelaksanaan.

Melihatkan isu di Syria, di Mesir, tidak lama dahulu di Tunisia, rakyatnya bangkit untuk kebajikan sendiri, yang kita nampak cuma keganasan pemerintah seperti Al-Sisi, Basyar Al-Asad, tidak terfikirkah kita mereka yang melawan itu cuma berbekalkan pesanan dari ulama' seluruh dunia yang bila disebut sahaja kita akan terbayangkan 'berserban, berkopiah putih, bercakap soal agama'. Apakah mereka tidak suka keamanan dengan menyokong pemerintah mereka yang 'berbaju kot, bertali leher'? Apakah yang mendakwa dirinya pejuang dinegara kita sama nawaitunya dengan disana? Benarkah perjuangan kita adalah seruan ulama' seluruh dunia? Nampak kaitannya dengan persoalan mula dari perenggan atas? Layakkah kita menyamakan perjuangan mereka dan kita sama? Fikirkan.

Pokok pangkalnya di sini, hidup kita ini ada tujuannya. Tidak Allah jadikan kita dengan tidak ada sebab, segalanya bersebab, malah Allah ciptakan batu yang tak berbunyi tak bercakap tak bernyawa itu pun ada tujuannya. Semuanya kita perlu berbalik kepada Yang Esa. Andai kita sebut berjuang untuk negara dan bangsa dengan meninggalkan agama, sia-sia perjuangan itu, sama seperti Quzman semasa Perang Uhud, berjuang hanya kerana bangsanya lalu mati sebagai ahli neraka. Kepentingan agama perlu didahulukan kepentingan bangsa dan bahasa akan menyusul dengan sendirinya.

Sejarah telah membuktikan hakikat ini bangsa Arab yang sebelumnya terkenal jahil, telah bertukar menjadi bangsa yang kuat dan mulia setelah menerima Islam. Dalam jangka masa yang tidak sampai 30 tahun selepas ke-Islamannya, umat Arab telah menjadi empayar dunia. Ini telah diakui oleh Saiyidina Umar Ibnul Khattab r.a dengan katanya:
“Kami bangsa Arab kuat dan berkuasa kerana Islam semata. Tanpa Islam kami tetap akan menjadi bangsa yang rendah dan terhina.”
Perjuangan untuk agama Allah ini sangat luas kalau mahu diceritakan dari satu perspektif sahaja. Juangnya itu untuk menegakkan agama, meluruskan masyarakat dengan agama, meninggalkan segala yang ditegah, mengerjakan apa yang diperintah. Apakah dengan mengangkat bangsa yang majoriti beragama Islam, kita sudah dianggap merdeka dari perjuangan menegakkan agama? Atau mungkin kita kata negara kita sudah dimerdekakan dari penjajah dengan syarat tertentu oleh mereka, sudah kita anggap merdeka? Kalau itu takrifannya, tiadalah erti merdeka itu, cuma sekadar tipikaliti pemikiran kita yang menganggap kita sudah merdeka. Jadi, merdekakah kita dari pemikiran tipikal itu?